Home Sejarah Penubuhan

Sejarah Penubuhan

Ilham untuk mewujudkan sebuah laman maya yang berkonsepkan patriotik dan keselamatan mula terbit setelah terbaca sebuah topik yang mengulas mengenai kewujudan blog-blog pertahanan tempatan di laman http://militaryofmalaysia.net/. Laman blog milik saudara ShahPaskal ini juga turut diulas di dalam Majalah Tempur keluaran bulan September 2009.

Asalnya dikenali dengan nama malaysiamilitary.forumotion.net, portal ini menjadi salah satu cara untuk bertukar-tukar pendapat dan perkongsian ilmu sesama warga forum.  Harapan besar forum ini adalah ia akan dapat memeriahkan lagi dunia pertahanan tempatan disamping dapat bergerak seiring bersama entiti patriotik yang lain.

Laman forum ini dilancarkan pada 13 September 2009 dan mendapat pelbagai reaksi daripada pengunjung.  idea, kritikan dan pendapat telah dilontarkan oleh warga-warga forum. Blogger ondscene (http://ondscene.my/) dan juga ShahPaskal (http://militaryofmalaysia.net) turut memberi respon yang positif atas kewujudan forum ini. Banyak penambahbaikan telah dilaksanakan, hasil daripada sokongan dalam pelbagai bentuk daripada warga forum sendiri.

Sebagai langkah menepati aspirasi, forum ini kini telah dijenamakan semula dengan perkataan ‘Panggilan Pertiwi’. Selaras dengan itu, laman web telah diwujudkan dengan memiliki domain sendiri iaitu http://panggilanpertiwi.my pada awal 2011.

Ini adalah langkah peningkatan mutu dan upaya forum agar ia lebih kemas dan  stabil, seiring dengan misi dan visi melalui pelbagai aktiviti kami. Amat membanggakan apabila kami berjaya mengorak langkah setapak lagi dengan menjadi sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) pada akhir 2012 dan diterima baik serta mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Kepada pengunjung yang setia mengikuti forum ini sejak awal penubuhan, mereka telah melihat evolusi dan transformasi forum ini daripada malaysiamilitary.forumotion.net hinggalah kepada  panggilanpertiwi.my

Jutaan terima kasih kepada pengikut yang telah bersama-sama kami. Syukur kepada Allah S.W.T atas pencapaian dan kejayaan di dalam mengharungi perjalanan yang tiada bernoktah ini.  Terima kasih di atas sokongan anda semua.