Home Antarabangsa AS LULUSKAN HELIKOPTER MD530F

AS LULUSKAN HELIKOPTER MD530F

5297
0
SHARE

 

Kerajaan telah memohon pembelian helikopter MD 530F lengkap dengan pakej persenjataan melalui program Foreign Military Sales.

Berdasarkan pengumuman dari Defense Security Cooperation Agency (DSCA), Kongres telah dimaklumkan mengenai kemungkinan jualan sebanyak 12 unit helikopter peninjau/penyerang ringan tersebut beserta pakej senjata dan peralatan untuk Tentera Darat Kenya.

Dalam permohonan tersebut, mereka memerlukan 24 sistem Pod mesingan berat (HMP 400) FN Herstal, 24 pelancar roket M260, 4,032 butir roket M151, 1,536 butir roket M274 Smoke Signature untuk latihan dan 400 ribu pusingan peluru kaliber .50.

HMP 400 keluaran FN Herstal mempunyai jarak tembakan berkesan kira-kira 1,900 m, manakala roket 70mm membolehkan juruterbang memusnahkan sasaran sejauh kira-kira 8,000 m dari kedudukannya.

Pakej jualan ini turut melibatkan peralatan komunikasi dan navigasi, sokongan logistik, latihan dan bantuan teknikal, kerangka pesawat serta sokongan alat ganti senjata dan lain-lain dengan anggaran kos sejumlah $253 juta dolar AS.

Permintaan ini dikatakan bakal menyumbang kepada dasar luar dan keselamatan negara AS dengan meningkatkan keselamatan rakan niaga serantau.

Dengan perolehan helikopter ini, ia dikatakan bakal meningkatkan inisiatif Kenya untuk menjalankan operasi peninjauan dan serangan dalam misi African Union Mission in Somalia (AMISOM). Ia merupakan satu misi sokongan keamanan serantau yang ditubuhkan oleh Majlis Keamanan dan Keselamatan Kesatuan Afrika dengan sokongan penuh daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

MD530F juga bakal menggantikan barisan 39 buah pesawat peninjau MD500 yang telah berusia, meningkatkan usaha pemodenan Tentera Darat Kenya disamping menambahkan jaringan operasi antara Angkatan Tentera AS dan rakan-rakan lain di rantau ini.

Kenya dikatakan tidak akan menghadapi masalah penyesuaian pesawat kerana menggunakan pesawat dari jenis yang sama sebelum ini.

MD 530F direka untuk memenuhi keperluan harian dan operasi yang beraltitud tinggi. Ia dilengkapi dengan enjin 650shp Rolls-Royce 250-C30,  mampu beroperasi dengan berkesan ketika cuaca panas di kawasan persekitaran tinggi dengan kos penyelenggaraan rendah.