Home Antarabangsa HUT-TNI KE-72 BAKAL TAMPILKAN AH-64E APACHE

HUT-TNI KE-72 BAKAL TAMPILKAN AH-64E APACHE

1509
0
SHARE

 

Hari Ulang Tahun ke-72 Tentara Nasional Indonesia (TNI) yang disambut pada 5 Oktober tahun ini dijangka akan menyaksikan penerbangan helikopter tempur AH-64E milik mereka buat julung kalinya. Kepala Staf TNI Angkatan Darat (KSAD), Jenderal TNI Mulyono sangat berharap helikopter tersebut tiba di Indonesia tahun ini.

Pada 2013, penjualan lapan helikopter Apache diumumkan oleh Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel kepada Indonesia semasa lawatan beliau ke Jakarta. Pendedahan itu dibuat hampir setahun selepas permohonan tersebut dimaklumkan kepada Kongres di bawah program Foreign Military Sales (FMS).

Program FMS ini merupakan satu bentuk bantuan keselamatan yang berkuatkuasa di bawah Akta Kawalan Eksport Senjata (AECA), bertujuan untuk mengukuhkan hubungan ketenteraan antara dua hala. Melalui FMS, Kerajaan AS dan negara pembeli membuat perjanjian Surat Tawaran dan Penerimaan (LOA).

Indonesia telah menandatangani kontrak bernilai 295.8 juta dolar AS dengan Boeing untuk membeli 8 buah helikopter Apache pada Januari 2015. Kontrak ini termasuk penjualan 4 radar kawalan tembakan AN/APG-78 Longbow, pakej persenjataan 120 buah peluru berpandu AGM-114 Hellfire, serta pakej latihan krew dan sokongan.

AH-64E ‘Guardian’ direka untuk tujuan operasi maritim. Ia menampilkan sambungan digital lebih baik melalui Joint Tactical Information Distribution System, enjin T700-GE-701D yang lebih berkuasa dengan transmisi gear dinaiktaraf, keupayaan untuk mengawal kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), keupayaan IFR sepenuhnya dan gear pendaratan yang lebih baik.

Selain itu, versi ini menawarkan bilah rotor komposit terbaru yang telah melepasi fasa ujian sekaligus meningkatkan kelajuan, kadar pendakian dan tambahan kapasiti muatan.

AN/APG-78 LONGBOW Fire Control Radar

Dengan radar Longbow yang dinaiktaraf, ia mempunyai kelebihan membuat serangan maritim. Kehadiran Helikopter ini ia bakal melengkapkan lagi keupayaan serangan bersama-sama pesawat Embraer EMB-314 Super Tucano, pesawat serangan ringan milik TNI-AU.

Proses perolehan helikopter masih dijalankan dan dijangka mula diterima secara berperingkat di antara 2017 hingga 2018. Helikopter ini bakal dioperasikan untuk peranan pencegahan lanun dan pengawasan maritim.