Home Sejarah SEJARAH : MALAYSIA PERNAH BERHASRAT PEROLEH A-7 CORSAIR

SEJARAH : MALAYSIA PERNAH BERHASRAT PEROLEH A-7 CORSAIR

832
0
SHARE

Malaysia pernah menimbang tawaran untuk memperoleh pesawat A-7 Corsair sebagai sebahagian daripada pelan pemodenan aset Tentera Udara Diraja Malaysia pada tahun 1981, demikian menurut laporan akhbar The Straits Times.

Era 80an menyaksikan komunis masih dilihat sebagai ancaman utama kepada Malaysia. Maka dengan itu, TUDM memerlukan pesawat yang sesuai untuk menggalas tugas serangan darat, selain beroperasi dalam jarak jauh dan mampu membawa pelbagai jenis ordnans. TUDM telah pun menghantar pasukan penilai ke AS untuk meneliti tawaran pesawat Vought A-7 Corsair terbaru ketika itu.

Pada asalnya Malaysia berminat dengan lebihan pesawat Corsair milik USAF dan USN yang bernilai sekitar 4-5 juta dolar AS berbanding pesawat baru, yang berharga lebih 13 juta dolar AS sebuah. TUDM bercadang untuk memperoleh kira-kira 30 pesawat Corsair versi A-7D, versi yang digunakan oleh Tentera Udara AS di Vietnam. Walau bagaimanapun, larangan menjual peralatan ketenteraan yang terkini ke negara asing telah membantutkan hasrat Malaysia ketika itu.

Versi D dibina untuk Tentera Udara AS dengan enjin turbofan tunggal TF41-A-1 Allison, paparan HUD, pakej avionik terbaru, sistem navigasi berkomputer dan dilengkapi meriam 20mm M61A1 Vulcan serta 6 hard point di bawah sayap untuk membawa pelbagai kombinasi misil, bom dan pod roket. Sejumlah 459 buah pesawat versi ini telah dibina.

A-7 Corsair merupakan pesawat subsonik serangan ringan yang dibangunkan oleh Ling-Temco-Vought untuk menggantikan pesawat A-4 Skyhawk. Corsair pada mulanya memasuki perkhidmatan dengan Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) semasa Perang Vietnam. Ia kemudiannya memasuki perkhidmatan Tentera Udara AS untuk menggantikan pesawat A-1 Skyraider dan F-100 Super Sabre. Khidmat pesawat ini ditamatkan sepenuhnya pada tahun 1993. Pesawat ini mendapat nama gelaran “Short Little Ugly F**ker” (SLUF) di kalangan juruterbang.

Thailand merupakan satu-satunya negara asia tenggara yang memiliki pesawat ini (versi E).