INDIA BAKAL TELITI MIG-29N TUDM

    395
    0
    SHARE

     

    Kerajaan India telah memutuskan untuk menghantar sekumpulan pakar pasukan teknikal dari Tentera Udara India (IAF) bagi membuat tinjauan dan penilaian ke atas pesawat-pesawat Mig-29N milik TUDM, demikian menurut laporan Indian Defence Research Wing (IDRW). Sasaran untuk perolehan ini dijangka dapat menjimatkan kos naiktaraf pesawat pejuang mereka.

    Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke India untuk bertemu dengan PM India Narendra Modi baru-baru ini mengukuhkan lagi hubungan dua hala dalam pelbagai perkara termasuk kerjasama bidang pertahanan.

    Antara yang perkara yang diperhalusi semasa pertemuan itu ialah kemungkinan India akan membeli pesawat Mig-29N dan Malaysia akan menerima alat ganti pesawat Sukhoi sebagai timbal balik.

    Malaysia telah membeli 16 pesawat Mig-29N dari Rusia pada tahun 1995. Dengan tempoh jam penerbangan yang masih berbaki, ia menarik minat India untuk memperolehinya. India menjangkakan bahawa dengan proses naiktaraf menjadi MIg-29 UPG, pesawat ini boleh dipanjangkan lagi jangka hayatnya untuk tempoh dua dekad dengan kos yang rendah.

    Mig-29 UPG merupakan versi yang mempunyai radar Zhuk-ME, sistem kawalan senjata baru, prob IFR , enjin RD-33 yang dipertingkatkan dan sistem avionik terkini. Dengan program naiktaraf ini, ia bakal meluaskan jarak operasi dari segi pemintasan dan pelaksanaan misi penguasaan udara.

    Sejumlah 69 buah pesawat Mig-29 berada dalam perkhidmatan IAF. Ia merupakan barisan kedua pertahanan udara India selepas pesawat Sukhoi Su-30MKI. Jumlah ini tidak termasuk pesawat Mig-29 milik tentera laut mereka.

    Walaupun telah memeterai perjanjian untuk mendapatkan 36 buah pesawat Rafale dari Perancis, India ketika dilaporkan ini menghadapai masalah kekurangan pesawat tempur kerana penghantarannya dijangka hanya bermula pada hujung 2019.