Home Antarabangsa VIETNAM TELITI PESAWAT LATIHAN TERBARU

VIETNAM TELITI PESAWAT LATIHAN TERBARU

149
0
SHARE

Tentera Udara Rakyat Vietnam (VPAF) sedang meneliti dan dijangka akan membuat perolehan terbaru untuk pesawat latihan negara itu, YAK-130 buatan Russia. Mereka memberi isyarat mengenai perkara ini di sebuah persidangan latihan juruterbang di Hanoi.

Ketika ini, mereka masih bergantung kepada 2 jenis pesawat latihan iaitu Yak-52 yang berjumlah 22 buah dan L-39 versi C/Z sebanyak 34 buah.

Beberapa tahun sebelum ini, VPAF telah menghantar juruterbang pelatih ke Russia untuk menjalani sesi latihan. Terbaru, Vietnam telah menandatangani perjanjian dengan India untuk menyediakan keperluan latihan juruterbang pesawat Sukhoi Su-30MK2 mereka. VPAF memperoleh 36 buah pesawat tersebut di antara 2004-2016.

Sekiranya perolehan ini mencapai kata putus, ia merupakan pilihan yang ideal bagi Vietnam sendiri kerana juruterbang mereka telah pun mengoperasikan pesawat buatan Rusia sebelum ini, selain memudahkan transisi ke pesawat baru kelak.

Yak-130 merupakan pesawat kombat latihan yang dibangunkan oleh Yakovlev Design Bureau, direka khusus untuk latihan asas dan lanjutan bagi generasi ke-4 dan ke-5. Pesawat ini juga berperanan sebagai pesawat serangan ringan untuk misi berskala kecil. Ia berkemampuan membawa pelbagai jenis amunisi seberat 3 tan termasuk roket, misil, meriam, pod peninjauan elektronik dan tangki minyak tambahan.

Dengan menampilkan kokpit kaca dan sistem fly-by-wire, ia boleh mensimulasi pesawat Blok Barat dan Rusia termasuk MiG-29, Su-27, Su-30, F-15 dan F-16. Ini membolehkan juruterbang mereka menguasai pengendalian jet-jet tempur terkini dalam tempoh yang singkat.

Jam penerbangan dapat dijimatkan dari 4-6 kali ganda berbanding pesawat latihan kombat generasi ke-4. Selain itu, kerja penyelenggaraan enjin pesawat yang ringkas, penggunaan bahan bakar yang rendah sekaligus menjimatkan kos menjadi sebab antara ia sedang diteliti.

Program latihan melalui pesawat ini dikatakan menyeluruh merangkumi aspek asas, utama dan lanjutan termasuk pendidikan dan kemahiran dari sudut teknikal. Yak-130 merupakan platform latihan kemahiran dog-fight yang berkesan ekoran manuverbiliti nya yang cemerlang.

Semasa LIMA 2017 baru-baru ini, Rusia telah memaklumkan mereka telah pun membuat penghantaran kumpulan pertama pesawat ini ke Myanmar. Walau bagaimanapun jumlah sebenar pesawat yang dipesan oleh negara itu tidak diketahui.